Showing posts with label Agama. Show all posts
Showing posts with label Agama. Show all posts

26 February 2013

100 Pesanan Terakhir Rasulullah (Bahagian 3)






Sedikit perkongsian :)
Pesanan Untuk Kaum Lelaki
Di antara pesanan Rasulullah s.a.w kepada kaum lelaki ialah:
  • Hendaklah bangun mengerjakan solat pada pertengahan malam walaupun sekadar dua rakaat pendek.
  • Barangsiapa yang diberikan Nikmat dari-Nya dan dia bersyukur, diberi dugaan oleh-Nya dan dia bersabar, jika berbuat jahat dia memohon ampun, nescaya dia masuk ke syurga dari mana-mana pintu yang dikehendaki.
  • Amalkanlah memanjangkan zikir dan membaca Al-Quran setiap kali selesai solat Subuh. 
  • Lazimkan diri menyebut nama Allah sebelum terbit fajar dan terbit matahari. 
  • Biasakan diri berdoa antara azan dan iqamat. 
  • Sesiapa yang mengamalkan surah al-Mulk dan surah al-Sajadah sebelum tidur pada setiap malam, Allah akan mengutuskan teman untuknya di dalam kubur dan meringankan di alam barzakh.
  • Tebarkan salam kepada sesama muslim.


Pesanan Untuk Kaum Wanita
Beberapa peringatan dari Rasulullah s.a.w untuk kaum wanita:

  • Bagi wanita yang mengandung, para malaikat akan beristighfar untuknya dan Allah mencatatkan baginya 100 kebajikan dan menghapuskan 1000 kejahatan setiap hari.
  • Jika seorang wanita meminyakkan rambut suaminya, janggutnya, memotong misainya dan memotong kukunya, dia akan diberi minum oleh Allah dari air sungai di syurga, diiringi Allah ketika sakaratulmaut dan kuburnya akan dijadikan taman syurga.
  • Mana-mana wanita yang menolong suaminya dalam urusan agama, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya.
  • Apabila seorang wanita taat kepada suaminya, semua burung di udara, ikan di air, matahari dan bulan beristighfar baginya selama mana dia masih taat kepada suaminya.

Baca lebih lanjut tentang pesanan ini dan banyak lagi, dari buku 100 Pesanan Terakhir Rasulullah (tulisan oleh Muhd Nasruddin Dasuki, terbitan Karya Bestari).

Dapatkan buku ini pada harga istimewa RM10 tidak termasuk pos (harga pasaran: RM18.00 Semenanjung, RM21.00 Sabah/Sarawak), sila email kepada: syahidayep@gmail.com atau dsbuku@gmail.com. Stok terhad. Siapa cepat, dia dapat! :)

24 January 2013

Menjemput Rezeki dengan Doa

dari google

Sihat. Bahagia. Gembira. Dipermudahkan urusan. Anak-anak. Suami/isteri yang baik. Famili yang supportive. Semangat dan aura positif. Ini semua rezeki, bukan $$$ semata-mata.

Salah satu kaedah menjemput rezeki, adalah dengan berdoa. Berdoa untuk kesihatan yang baik. Berdoa untuk keberkatan usia. Berdoa untuk apa saja. Seperti kata penulis, Roza Roslan di dalam buku-bukunya, doa, doa dan doalah selalu, bila-bila masa.

Petikan dari buku Mudahnya Menjemput Rezeki;

Kita boleh berdoa pada bila-bila masa. Walaubagaimanapun, terdapat waktu tertentu yang mana lebih mustajab berdoa, sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah saw. Antaranya;
  • Setiap lepas solat fardhu.
  • Ketika bangun tidur.
  • Waktu membaca doa qunut pada solat Subuh.
  • Waktu ditimpa kesulitan, kecewa dan hati tidak tenteram.
  • Sewaktu sujud.
  • Waktu hujan turun.
Saya hanya kongsikan sebahagian daripada waktu mustajab berdoa yang disyorkan oleh buku ini. Amacam kawan-kawan? Ingat ya, berdoalah ketika hujan. Jangan komplen/merungut susah dan sebagainya. Doa yang ikhlas dan dari hati, insyaAllah diperkenankan nanti. #peringatan untuk diri sendiri.

Ibny 'Ataillah berkata dalam kitab Hikamnya: "Apabila Allah melepaskan lidahmu untuk meminta, ketahuilah sesungguhnya Allah hendak memberimu."

Salam Jumaat!

22 January 2013

Oh! Wishlist (Bahagian 2)


11 Rabiulawal 1434H.  Esok hari ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w yang tercinta. Pagi tadi, melayan lagu-lagu tentang Rasulullah di ikim.fm, terasa sebak dan bergenang air mata.

Sebelum ini, Maulidur Rasul hanyalah salah satu daripada senarai cuti umum yang ditunggu-tunggu. Itu dulu. Sekarang, saya rasa terpanggil untuk lebih mengenali tentang Rasul kita, khalifah Allah yang sempurna personalitinya. Subhanallah. Alhamdulillah. Salah satu cara mengenali Nabi s.a.w ialah melalui buku. Hari ini, cukup banyak buku-buku tentang Rasulullah s.a.w di pasaran. 

dari google


101 Akhlak Rasulullah. Sangat sesuai untuk anak-anak. Orang kata, don't judge a book by its cover. Tapi, cover buku ini sangat menarik dan penuh warna. Anak-anak tentu suka. InsyaAllah, mereka akan lebih bersemangat membaca tentang peribadi dan akhlak Nabi s.a.w.


dari google

Syamail Muhammad s.a.w. Saya pilih untuk membeli buku ini untuk diri sendiri. Buku-buku terbitan Telaga Biru jarang mengecewakan. Melihat ustaz Dr.Zahazan Mohamed menyebut secara ringkas tentang buku ini di slot Malaysia Hari ini, tv3 minggu lepas buat saya tak sabar untuk cari dan beli buku ini segera. 

Katanya, buku ini adalah himpunan hadis oleh imam at-Tirmizi tentang Rasulullah s.a.w dalam 5 aspek kehidupan baginda iaitu; fizikal, tingkahlaku, ibadah, hubungan dan akhlak dan perjalanan hidup Nabi s.a.w secara amnya. Jom beli jom! 


dari facebook

Sedikit perkongsian pagi ini;

Sebuah hadis sahih daripada Imam Bukhari, "Rasulullah s.a.w mengingatkan katanya, ada dua kenikmatan, banyak manusia menjadi rugi gara-gara dua kenikmatan ini iaitu nikmat kesihatan dan nikmat waktu lapang."


Rasulullah s.a.w. Idola terbaik dalam kehidupan.

Sihat selalu! :)

21 January 2013

100 Pesanan Terakhir Rasulullah (Bahagian 2)



Salam 10 Rabiulawal 1434. 

Sedikit perkongsian daripada Bab 13, 100 Pesanan Terakhir Rasulullah;

Rasulullah saw merupakan orang yang banyak memberi tanpa mengharapkan balasan. Selain memberi sedekah, baginda juga memberikan ilmu kepada sesiapa malah pada suatu ketika Rasulullah saw sendiri berasa masih banyak lagi yang tidak diberikan kepada orang yang memerlukan.

Subhanallah. Betapa CANTIKnya keperibadian Nabi saw. Bagaimana dengan kita? Berapa banyakkah yang telah kita beri kepada orang lain selama ini? #peringatan untuk diri sendiri

Memberi, tidak semestinya harta. Memberi senyuman, kemaafan, ilmu, kata-kata manis, rasa hormat, ucapan salam, berjabat tangan, berterima kasih dan apa juga pemberian bukan material adalah sangat digalakkan.

Kalau  difikirkan, terlalu banyak yang telah Allah beri kepada kita tetapi terlalu sedikit pula yang kita berikan semula kepada-Nya. Nikmat Allah kepada hamba-hambanya tidak terhitung.

Memberi tanpa mengharapkan balasan. Itulah yang sewajarnya. Jom kita sama-sama mencontohi sikap Nabi saw. Jom ucapkan Alhamdulillah :)

Bismillahirrahmanirrahim,

dari mukasurat 56, buku 100 Pesanan Terakhir Rasulullah.

16 January 2013

Mudahnya Menjemput Rezeki


"Sesungguhnya Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya 
dengan tidak terhitung jumlahnya."

Itulah yang tertera di muka depan buku ini, Mudahnya Menjemput Rezeki. Satu peringatan yang baik untuk kita semua. Yakin pada Allah. Jangan khuatir dengan ketentuan rezeki anda. Usaha, usaha dan usaha tanpa terlalu memikirkan hasilnya. Janji Allah pasti ditepati. Yang diusahakan, insyaAllah akan ada ganjarannya nanti.

Saya sebenarnya membeli buku ini sebagai hadiah untuk diri sendiri. Bagi seorang yang bekerja sendiri, saya tidak dapat lari daripada rasa risau dengan pendapatan yang turun naik dan tidak menentu. Kadang-kadang, rasa risau itu agak over terutamanya apabila $$$ semakin susut dan syaitan pula mula menjalankan tugas dengan jayanya. haha

Membaca buku ini dari semasa ke semasa membantu saya untuk sentiasa ingat bahawa Allah itu Maha adil, Maha pemurah, lagi pengasih dan penyayang. Ia menolong saya untuk terus istiqamah dan bertawakal. 

Menjemput rezeki dengan mengutamakan solat.
Menjemput rezeki dengan solat Tahajud.
Menjemput rezeki dengan solat Dhuha.
Menjemput rezeki dengan zikir.
Menjemput rezeki dengan Doa.
Menjemput rezeki dengan mendoakan orang lain.
Menjemput rezeki dengan Sedekah.
Menjemput rezeki dengan membaca Al-Quran.
Menjemput rezeki dengan Asma'ul Husna.
Menjemput rezeki dengan bersyukur.
Menjemput rezeki dengan tekun berusaha.

Fuhh, banyak betul jalan menjemput rezeki. Yang penting kita ikhlas dan yakin. Selain itu, buku ini juga membuka mata saya tentang definisi rezeki. 

Menurut pengarang Tafsir al-Quran asy-Sya'rawy, rezeki adalah apa sahaja yang memberi manfaat kepada seseorang. Selain itu, kita perlu sedar bahawa apa yang didapati melalui usaha kita, terdapat padanya rezeki orang lain. Oleh itu, jangan lokek memberi.

Duit, makanan, minuman, kereta, rumah dan pelbagai material lain adalah rezeki.Kesihatan yang baik, keupayaan bekerja, kemahuan menabung, sikap, tingkah laku, idea, taufik dan hidayah juga merupakan rezeki. 

Semua rezeki datang dari Allah. Ketentuan rezeki setiap makhluk-Nya sudah ditentukan sehingga hari kiamat. Jom amalkan kaedah-kaedah yang disyorkan di dalam buku ini. Moga kita mendapat rezeki yang berkat. Amiin!



**Harga buku: RM18 Semenanjung, RM20 Sabah Sarawak.

Jangan lupa dapatkan buku ini di kedai buku berhampiran. 
Banyak pengisian positif :)



13 January 2013

Koleksi Roza Roslan

Koleksi buku Roza Roslan


Sebelum ini saya tak pernah kenal siapa Roza Roslan. Selepas saya membaca buku Prof Kamil, Bersyukur Saat Diuji, saya terus membeli keempat-empat buku di atas. Satu persatu saya baca buku-buku tersebut. Saya suka kesemuanya! :)

Travelog Cinta Abadi
Travelog Kehidupan Abadi
Travelog Impian Abadi
Bukan Sekadar Resepi

Seronok membaca buku-buku tulisan Roza Roslan. Saya boleh relate dengan kebanyakan kisah-kisahnya. Apa yang saya perhatikan, dalam kesemuanya buku-bukunya, ada satu persamaan. 

Berdoa. Doa.Doa dan doa.

Jangan jemu berdoa. Berdoalah dimana-mana. Berdoalah bila-bila masa, waktu susah, semasa senang. Berdoalah selalu. Boleh berdoa dengan bahasa yang mudah. Berdoalah dengan penuh ikhlas dan ingatan pada Allah. 

Ya, itulah mesej yang saya dapat dari buku-buku karya Roza Roslan.

Terima kasih puan Roza untuk tulisan-tulisan anda. Alhamdulillah. Saya suka!

dari facebook


Salam Isnin. Singgah lagi :)

9 January 2013

31 Kisah Nabi


31 Kisah Nabi. Satu lagi buku agama kegemaran anak-anak dan saya.
Visual-visual berwarna dan lukisan-lukisan comel pada buku ini mencetuskan rasa ingin membaca pada anak-anak.

Dari manakan asal usul manusia?
Siapakah orang pertama yang menggunakan teknologi alat tulis?
Siapakah di antara Nabi yang mempunyai suara terbaik di zamannya?
Siapakah Nabi yang kalis api?
Nabi manakah yang mampu melembutkan besi dengan tangannya sendiri?

...dan banyak lagi soalan-soalan yang dijawab melalui kisah-kisah Nabi didalam naskhah ini.

Di penghujung setiap kisah juga, diselitkan kata-kata hikmah yang positif dan sarat nasihat untuk anak-anak.
Buku ini adalah salah satu medium terbaik untuk mengajar anak-anak mengenal, percaya dan cintakan Nabi kita. 



Buku ini mempunyai 209 mukasurat , termasuk glosari perkataan.
31 Kisah Nabi. Highly recommended! 

dari buku 31 Kisah Nabi;
" Doa atau tasbih Nabi Yunus yang boleh kita amalkan. 
Ia adalah salah satu doa mustajab. 
Doa itu berbunyi, 
Lailaha illa anta, subhanaka inni kuntuminazzolimin."

**Harga: RM31 Semenanjung, RM34 Sabah Sarawak.

13 December 2012

Mendidik Anak-anak Cara Islami


Sinopsis

Anakku Hebat Anakku Soleh



Semua ibu bapa mahukan anak-anak yang hebat dan sukses dalam setiap aspek kehidupan, pada masa yang sama, cerdik dan soleh. Tetapi pakej ciri anak cemerlang tidak semudah itu untuk dimiliki. Anak sentiasa terdedah kepada pelbagai pengaruh dan anasir.

Kuasa menyediakan landasan yang betul untuk anak-anak, terletak di tangan ibubapa. Tugas ibu bapa adalah mengawal dan menyelia, berlandaskan panduan Al-Quran dan hadis. Buku ini menghurai kaedah dan panduan tersebut.

Kesalahan Ibu Bapa dalam Mendidik Anak


Semua ibu bapa mahukan anak-anak yang soleh, cerdik dan berjaya. Hari ini, banyak sekali teori dan keadah-keadah keibubapaan diketengahkan. Bahkan ahli-ahli psikologi dan motivasi barat juga mengetengahkan kaedah masing-masing untuk membangun anak yang berjaya di dalam kehidupan mereka.

Di dalam Islam, contoh pendidikan anak telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. sendiri. Baginda Rasulullah meletakkan matlamat kejayaan kehidupan seseorang adalah akhirat yang berjaya dan bahagia. Begitulah cara beliau mendidik anak-anaknya dan juga para sahabat.



Kesibukan ibu bapa mencari rezeki untuk keluarga sememangnya menghadkan masa ibu bapa untuk bersama anak-anak mereka. Namun ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan pendidikan dan pemantauan terhadap anak-anak.

Ada juga ibu bapa yang punya begitu banyak sekali masa bersama anak-anaknya tetapi la tidak digunakan sebaiknya. Ini juga sesuatu yang elok. Untuk membangunkan generasi yang mantap dari segi ilmu dunia dan akhiratnya maka pendidikan itu bermula daripada awal. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga perlu mengetahui tip dan selok belok dalam mendidik anak. 


Salah satu cara ialah mengetahui kelemahan dan kesalahan yang kita lakukan supaya kita boleh menghindarkannya. Jom sama-sama baca buku ini.

Kisah-kisah Inspirasi Ibu-ibu yang Melahirkan Orang-orang yang Berjaya


Di belakang seorang individu yang sukses dan ternama pasti ada dibelakangnya seorang ibu hebat yang telah melahirkan, mengasuh, mendidik dan mengasihinya. Ibu-ibu ini hanyalah orang biasa, namun dengan cinta dan kasih belaian tangan mereka, lahirlah insan-insan terbilang. 

Hargai ibu kita apabila kita sudah berada di puncak kegemilangan. Tanpa ibu, kita tidak akan berada di situ. Kasih, sayangi dan hormatilah kedua orang tua kita kerana kita semua juga pasti akan melalui usia itu nanti, InsyaAllah.

Mendidik Anak Senang Solat

Mentarbiah anak-anak menjadi sebahagian daripada golongan yang mendirikan solat bukan satu tugas mudah.  Tanggungjawab ini diperhalusi dan diberikan panduan sewajarnya di dalam buku ini.

Mendidik Anak Senang Solat. Bagaimana? Dapatkan senaskhah sekarang!


sumber sinopsis: dari google


Sekadar berkongsi --> Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Bukanlah daripada golongan kami orang- orang yang tidak menyayangi kanak-kanak dan yang tidak mengetahui kemuliaan orang tua."    (Riwayat Ahmad, al-Tarmizi, Hakam dan Abu Daud)


12 December 2012

Anakku Hebat, Anakku Soleh


Anakku Hebat, Anakku Soleh. Salah satu daripada buku kegemaran saya.

Kenapa?

Setiap helaian dipenuhi ilustrasi berwarna dan petikan firman Allah s.w.t dan sabda Rasulullah s.a.w.

Ia memberi panduan mendidik anak cara Islami yang penuh komprehensif tapi dijelaskan dalam bahasa yang ringkas dan mudah difahami.

Anak-anak saya sendiri tertarik untuk membelek buku ini kerana visualnya yang menarik.

Memetik kata Penerbit;
"Ramai kalangan ibu bapa yang berjaya mendidik anak menjadi ahli akademik yang cemerlang dan hebat. Begitu juga ada yang berjaya mendidik anak menjadi pemain bola sepak yang hebat, pemain badminton yang hebat, penyanyi yang hebat, pelakon yang hebat dan berbagai-bagai lagi. Anak-anak tersebut menjadi seorang yang hebat dalam bidangnya, terkenal serata dunia, merangkul gelaran-gelaran terkemuka, meraih kekayaan dan kemasyhuran yang tidak terhingga. Tetapi malang, anak ini daif iman dan miskin ilmu serta penghayatan syariat."

Membesarkan anak-anak pada dunia hari ini adalah cabaran besar, tidak boleh dipandang remeh.Anak-anak adalah khalifah kecil yang dipertanggungjawabkan oleh Allah kepada ibu bapa untuk dididik dan dibentuk sebaiknya.

Buku ini sesuai dijadikan inpirasi kepada seluruh pembaca dalam membentuk zuriat yang soleh dan solehah.

**Harga: RM34.90 Semenanjung, RM36.90 Sabah Sarawak

100 Pesanan Terakhir Rasulullah


Petikan daripada buku 100 Pesanan Terakhir Rasulullah;

ALLAH berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 21, bermaksud, "Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap rahmat ALLAH dan balasan kebaikan pada hari kiamat dan dia banyak menyebut ALLAH."

**Harga RM18.00 Semenanjung, RM21.00 Sabah Sarawak

23 November 2012

Sebelum Aku Bernikah


Sebelum Aku Bernikah. Catatan seorang Hilal Asyraf(HA) sebelum beliau berumahtangga. 

Buku ini bukanlah buku pertama tulisan HA. Cuma ianya adalah buku pertama tulisan beliau yang saya baca.

Siapakah Hilal Asyraf? Boleh baca di sini.
Senarai buku-buku tulisan Hilal Asyraf? Boleh tengok di sini.

Saya selalu juga mengikuti perkembangan HA di facebook. Saya bukanlah seorang peminat tegar. Tapi saya akui, saya cukup berkenan dengan buah fikiran dan idea-idea beliau.

Membaca naskhah Sebelum Aku Bernikah menguatkan lagi alasan untuk saya terus mengikut perkembangan beliau. Walaupun saya sudah 14 tahun bernikah, kandungan buku ini membuka mata saya kepada pelbagai isu dan perkara yang saya tidak pernah 'nampak', ambil peduli atau pandang secara serius sebelum ini.




24 Bab. 203 mukasurat. Padat. Tidak meleret-leret.

Pada saya, mesejnya cukup straight to the point. Kalau mahu disenaraikan caption dan petikan daripada buku ini yang saya gemari, senarainya mungkin terlalu panjang.  Lebih tepat lagi, mungkin saya akan end up memetik ekstrak daripada hampir setiap helaian. hehe

Ya, sampai begitu sekali. Setiap helaian ada kata-kata hikmah.
Yang membaca mesti terasa. Yang membaca pasti tersentuh.

Buku ini, wajib baca untuk para remaja dan belia yang belum berkahwin.
Buku ini juga sesuai untuk mereka yang sudah berkahwin seperti saya.
Buku ini juga wajar dibaca oleh para ibubapa (yang muda atau yang berusia).
Banyak panduan, tips dan pengajaran. Semuanya positif inshaaAllah.

Paling menarik tentang buku ini ialah, HA cuba menterjemahkan 'cinta' daripada perspektif yang berbeza.

Bukan cinta seronok-seronok bercouple. Bukan cinta dating, tengok wayang dan 'bergayut'. Bukan juga cinta romantik (sebelum nikah), berbalas hadiah dan saling luah-meluah (bak kata beliau).

Cinta halalan toyyiban. Tidak terlalu jumud. Tidak terlalu ekstrim.

Memetik kata-kata beliau daripada buku ini,

"....perasaan cinta tidak haram.Mengingati orang yang kita cintai tidak haram. Rindu kepada orang yang kita cintai itu tidak haram. Namun, mesti TIDAK berlebihan.  Kita berusaha mendisiplinkan diri dan berusaha membina peribadi yang mapan sekiranya benar-benar mahu perasaan itu dimanifestasikan dalam bentuk perkahwinan.
      Saya yakin, kita semua bersetuju cinta adalah haram, berdosa, apabila mengganggu ibadah dan kehidupan.Bagaimanapun, adakah kita harus memadamkan terus perasaan cinta? TIDAK."
" Saya sentiasa percaya yang cinta sebelum kahwin itu halal dan ada. Batasnya adalah ia mesti membawa ke syurga dan apa-apa yang membawa ke neraka itu BUKAN dinamakan cinta."


Saya salute dengan usaha HA untuk 'membersihkan' cinta daripada imej 'kotor' yang selama ini dipaparkan kepada masyarakat.

Selingan ayat-ayat Al-Quran di dalam buku ini juga membantu beliau menyampaikan mesej dengan lebih berkesan. Bagi pembaca yang cetek ilmu seperti saya, saya anggap ia seperti 'sambil menyelam minum air'. Sambil membaca buku, sambil menyelami dan menghayati terjemahan ayat-ayat dari kitab suci Al-Quran.


Kesimpulan daripada buku ini ialah; Sebelum bernikah, perlu ada persediaan rohani, persediaan emosi dan persediaan material.

Sebelum Aku Bernikah. Berusaha Mencapai MampuHighly recommended!

**Harga: RM20.00 Semenanjung RM23.00 Sabah Sarawak

18 November 2012

Bersyukur Saat Diuji


Bersyukur Saat Diuji. Buku yang memperkenalkan saya kepada penulisnya, Muhd Kamil Ibrahim(MKI). Betullah bak kata orang, tak kenal maka tak cinta.

Mengenali MKI melalui tulisannya di dalam buku ini, telah membuatkan saya 'jatuh hati' pada tulisannya.

Ya, Bersyukur Saat Diuji adalah naskhah pertama beliau bersama Galeri Ilmu.
Bagaimanapun, beliau bukanlah penulis baru. Sebelum ini, MKI sudah dikenali menerusi buku Travelog Haji:Mengubah Sempadan Iman dan Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok. Kedua-duanya terbitan PTS.

Sebaik sahaja memulakan pembacaan, saya teruja meneruskan sehingga ke halaman terakhir. 190 mukasurat semuanya. Bersyukur Saat Diuji bukanlah sebuah novel cinta. Isu-isu ujian kehidupan menjadi topik perbincangan dari awal hingga ke akhir. Pengalaman dan perjalanan hidup Prof MKI menjadi 'tunjang' kepada kisah Bersyukur Saat Diuji.

Ujian - Apakah?  Untuk siapakah? Kenapakah? Mampukah?
Riyak, Angkuh dan Ujub VS Syukur, Sabar dan Ikhlas.
Jenis-jenis Ujian ~ Ujian Tidur, Harta Benda, Kuasa, Ilmu, Badan, Ibadat, Pasangan Hidup, IbuBapa, Anak, Kehidupan dan Kematian.
Rahsia Menghadapi Ujian, Konsep Sabar, Solat, Khusyuk dan Menunggu.

Paling saya suka tentang buku ini ialah, hampir di setiap mukasurat dan bab, diselitkan petikan ayat Al-Quran. Selain itu, Prof Kamil juga mengakhiri setiap bab dengan doa memohon keampunan Allah.

SubhanAllah, AllahuAkbar, Astaghfirullah...

Buku ini ternyata menginsafkan dan memberi signal dan motivasi supaya kita 'kembali' kepada-Nya. Ketika membaca juga, ada masanya saya tidak sedar airmata bergenang dan menitis.

Bak kata Dr Muhammad Faizal A.Ghani (Universiti Malaya), "Hati saya terasa buku ini penuh dengan sifat tawaduk dan keikhlasan."

Bersyukur Saat Diuji adalah karya Prof MKI menyampaikan mesej secara jelas, bersahaja dan mudah difahami. Mengesankan dan menyentuh jiwa. Bagaimanapun, ia bukan kisah sedih semata-mata.

"Pada ketika tertentu, MKI membuat kita ketawa.  Dalam ketawa inilah beliau menyindir dengan sindiran yang sangat tajam." Prof Madya Dr.Mohd Rashidee Alwi, UiTM.

Firman Allah: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Al-Ankabut 29:2)"

Ujian kehidupan. Tiada manusia yang terkecuali.

"Jika ada yang menyangka mereka belum diuji, mungkin ujian tersebut berlalu tanpa mereka sedari. Tunggulah...tunggulah...tunggulah. Hari itu pasti tiba." Prof MKI.


**Harga: RM22.00 Semenanjung, RM24.00 Sabah Sarawak

Ledakan Facebook:Antara Pahala & Dosa



Trend masa kini; Facebook.
Tua, muda, lelaki, perempuan, dewasa, hatta kanak-kanak sekalipun, semakin ramai yang 'terjebak' dengan Facebook.

Mengikut statistik pada bulan Jun 2011, sejumlah 11,221,040 daripada 16,902,600 pengguna internet di Malaysia, mempunyai akaun Facebook.

Trend dan pengaruh Facebook yang semakin berleluasa, jika dibiarkan, tidak mustahil boleh menimbulkan 1001 jenis penyakit sosial di kalangan masyarakat.

Alhamdulillah, fenomena luar biasa ini akhirnya 'memanggil' Dr Zaharuddin untuk menghasilkan naskhah ini. Objektif beliau, membimbing masyarakat menggunakan Facebook dengan cara yang bermanfaat, bukan cara yang 'merosakkan'.

Bak kata Dr.Zaharuddin, Islam sentiasa terbuka terhadap kemajuan duniawi dan teknikaliti dalam ruang lingkup muamalat. Menurut beliau, penggunaan Facebook adalah HARUS. Yang menentukan halal dan haramnya adalah setiap status, gambar, profil dan apa jua perincian lain yang berkaitan dengan Facebook.

Bagi saya, buku ini agak komprehensif.  Ia menjawab kepada pelbagai persoalan dan hukum hakam penggunaan Facebook

Bagaimana Facebook menyumbang kepada pahala?
Apakah dosa-dosa yang terhasil daripada Facebook?
Facebook tempat promosi maksiat dan pembuka aib?
Bagaimana memanfaatkan Facebook secara positif?
Facebook medium perantara Ulama dan masyarakat?
Kutukan, pujian, ampu dan bodek di Facebook?

Hmm, macam-macam.
Semuanya dibincangkan secara detail, jelas dan mudah difahami.

Selain perbincangan isu-isu Facebook di atas, Dr. Zaharuddin juga berkongsi status-status berhikmah untuk manfaat para pembaca.

Antara status berhikmah pilihan saya ialah;

"Sekiranya ingin melihat peribadi seseorang,
lihat pada pengisian dan item disukai yang terpapar di Facebook peribadinya."


"Bila banyak bercakap, bukan sahaja potensi melakukan kesalahan itu meningkat,
malah boleh merencat peluang belajar.
Bila banyak mendengar dan bertanya,
tiada had untuk kita belajar dan menambah kematangan.
Menurut kajian pakar, big people monopolize the listening, small people monopolize the talking.Tidak hairan ada satu kata nabi, 'Berkatalah yang baik-baik, ataupun diam'."



Dengan 170 halaman, buku ini sangat berbaloi-baloi dibaca dan dimiliki.

Dr Zaharuddin bukan calang-calang penulis. Tulisannya  di dalam naskhah ini penuh pengisian positif dan sesuai dijadikan panduan untuk semua 'kaki' Facebook di luar sana.

Sekian, selamat membaca!