18 November 2012

Bersyukur Saat Diuji


Bersyukur Saat Diuji. Buku yang memperkenalkan saya kepada penulisnya, Muhd Kamil Ibrahim(MKI). Betullah bak kata orang, tak kenal maka tak cinta.

Mengenali MKI melalui tulisannya di dalam buku ini, telah membuatkan saya 'jatuh hati' pada tulisannya.

Ya, Bersyukur Saat Diuji adalah naskhah pertama beliau bersama Galeri Ilmu.
Bagaimanapun, beliau bukanlah penulis baru. Sebelum ini, MKI sudah dikenali menerusi buku Travelog Haji:Mengubah Sempadan Iman dan Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok. Kedua-duanya terbitan PTS.

Sebaik sahaja memulakan pembacaan, saya teruja meneruskan sehingga ke halaman terakhir. 190 mukasurat semuanya. Bersyukur Saat Diuji bukanlah sebuah novel cinta. Isu-isu ujian kehidupan menjadi topik perbincangan dari awal hingga ke akhir. Pengalaman dan perjalanan hidup Prof MKI menjadi 'tunjang' kepada kisah Bersyukur Saat Diuji.

Ujian - Apakah?  Untuk siapakah? Kenapakah? Mampukah?
Riyak, Angkuh dan Ujub VS Syukur, Sabar dan Ikhlas.
Jenis-jenis Ujian ~ Ujian Tidur, Harta Benda, Kuasa, Ilmu, Badan, Ibadat, Pasangan Hidup, IbuBapa, Anak, Kehidupan dan Kematian.
Rahsia Menghadapi Ujian, Konsep Sabar, Solat, Khusyuk dan Menunggu.

Paling saya suka tentang buku ini ialah, hampir di setiap mukasurat dan bab, diselitkan petikan ayat Al-Quran. Selain itu, Prof Kamil juga mengakhiri setiap bab dengan doa memohon keampunan Allah.

SubhanAllah, AllahuAkbar, Astaghfirullah...

Buku ini ternyata menginsafkan dan memberi signal dan motivasi supaya kita 'kembali' kepada-Nya. Ketika membaca juga, ada masanya saya tidak sedar airmata bergenang dan menitis.

Bak kata Dr Muhammad Faizal A.Ghani (Universiti Malaya), "Hati saya terasa buku ini penuh dengan sifat tawaduk dan keikhlasan."

Bersyukur Saat Diuji adalah karya Prof MKI menyampaikan mesej secara jelas, bersahaja dan mudah difahami. Mengesankan dan menyentuh jiwa. Bagaimanapun, ia bukan kisah sedih semata-mata.

"Pada ketika tertentu, MKI membuat kita ketawa.  Dalam ketawa inilah beliau menyindir dengan sindiran yang sangat tajam." Prof Madya Dr.Mohd Rashidee Alwi, UiTM.

Firman Allah: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Al-Ankabut 29:2)"

Ujian kehidupan. Tiada manusia yang terkecuali.

"Jika ada yang menyangka mereka belum diuji, mungkin ujian tersebut berlalu tanpa mereka sedari. Tunggulah...tunggulah...tunggulah. Hari itu pasti tiba." Prof MKI.


**Harga: RM22.00 Semenanjung, RM24.00 Sabah Sarawak

No comments:

Post a Comment