20 March 2013

al-Ustaz :Anda Musykil Islam Menjawab

Saya dan suami mula membaca majalah Al-Ustaz sejak tahun lepas. Kami bermula dengan keluaran No. 04. Ya, dah terlepas 3 keluaran yang pertama. Sejak membeli Al-Ustaz yang pertama, kami terus suka. Banyak ilmu, banyak fakta, banyak yang kami belajar. Alhamdulillah :)


Antara ruangan menarik:

Macam-macam Musykil ---> Ustaz Azhar Idrus
Motivasi Keluarga ---> Prof Dr. Muhaya Hj. Mohamad
Fiqah Semasa ---> Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
Imam Muda ---> Imam Muda Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan
Bicara Muslimah ---> Ustazah Norhafizah Hj. Musa
Tafsir Ayat Hukum ---> Dr.Hj.Zahazan Mohamed
Fiqah Harian ---> Dato' Haji Ismail Kamus



Ya, itu hanyalah sebahagian daripada ruangan menarik yang dikendalikan oleh para ilmuan yang cukup dikenali di Malaysia. Banyak lagi ruangan menarik. Pendekata, tak rugi membeli. Untunglah yang membaca.

Keluaran No.11 (yang terkini kami beli) agak menarik perhatian saya sebab ia sangat berkait rapat dengan hobi saya sekeluarga iaitu, membela kucing. Isu 'haiwan peliharaan' nampak remeh tapi sebenarnya sarat dengan informasi dan isu yang selama ini mungkin dipandang ringan oleh kebanyakan kita.


Antara yang ingin saya kongsikan (sumber: al-Ustaz Isu No. 11):

  • Hukum jual beli kucing dan kera: SAH kerana kedua-duanya suci dan bermanfaat, maka memenuhi syarat-syarat barangan jualan. Terdapat juga hadis sahih muslim yang meriwaratkan Nabi melarang daripada menjual kucing. Larangan ini berbentuk makruh tanzih (kerana biasanya masyarakat tidak mengambil harga kedua-duanya dan mereka hanya menghadiahkannya saja). Larangan ini juga berkaitan dengan kucing liar yang tidak jinak sehingga tidak boleh dimanfaatkan dan tidak halal dimakan menurut pendapat yang sahih. Wallahu'alam.
  • Sifat utama haiwan belaan (yang dibolehkan) mestilah suci dan tidak membahayakan. Haiwan itu juga mestilah bermanfaat secara syarak. Haiwan-haiwan yang diperintahkan untuk dibunuh; ular, gagak, tikus, anjing gila, burung hering dan cicak.
    Dalam sebuah hadis Nabi menyebut mafhumnya:"Lima haiwan perosak (mesti) dibunuh di Tanah Haram ataupun tanah halal: ular, gagak yang berwarna putih di bahu dan perutnya, tikus, anjing ganas dan burung bangkai." (Riwayat Muslim)
  • Hukum memberi nama kepada kucing? BOLEH. Nabi s.a.w sendiri memberi nama kepada binatang peliharaan baginda. Memberi nama kepada haiwan diharuskan, tetapi elakkan nama-nama yang biasa digunakan untuk manusia terutamanya nama-nama Nabi dan tokoh ulama (perkara ini boleh dikira sebagai penghinaan).
  • Memelihara anjing tanpa sebarang alasan/hajat, hukumnya haram (menurut mazhab Syafii) dan makruh (menurut mazhab yang lain). Jika dengan alasan (contohnya menjaga keselamatan), para ulama bersepakat bahawa hukumnya harus.
    Sabda Rasulullah s.a.w: "Sesiapa yang memelihara anjing, kecuali anjing untuk menjaga ladang, haiwan ternakan dan berburu, maka setiap hari pahalanya berkurangan satu qirat". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
  • Secara prinsipnya, sengaja membunuh makhluk Allah hukumnya haram melainkan atas sebab yang dibenarkan syarak seperti untuk dimakan serta jenis haiwan perosak yang sunat dibunuh seperti lipas dan cicak.  Islam mengajar kita belas kasihan kepada semua jenis makhluk, termasuk anjing dan babi (soal anjing dan babi hanya pada kenajisannya saja).
  • Nabi melarang membunuh empat jenis binatang: semut, lebah, burung belatuk dan katak. (Riwayat Abu Daud). Mesejnya ialah, haiwan yang tidak membahayakan manusia secara semulajadi tidak boleh dibunuh. Bagaimanapun, jika berlaku kemudharatan atau benar-benar dibimbangi berlaku sebarang bahaya, dibolehkan dibunuh.
  • Cara membunuh haiwan perosak dan berbahaya; apa saja cara asalkan TIDAK menyeksa dan BUKAN dengan api.
    Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Sesungguhnya Allah menetapkan ihsan buat setiap sesuatu. Maka jika kamu hendak membunuh, perelo kkan pembunuhan itu." (Riwayat Muslim)
    Ibn Mas'ud menceritakan bahawa beliau pernah bermusafir bersama Nabi s.a.w. Semasa Nabi pergi membuang air, ada sahabat membakar sarang semut. Tatkala Nabi s.a.w kembali dan melihat sarang semut yang dibakar, lalu Baginda bertanya: "Siapa yang membakar ini?" "Kami"
    "Sesungguhnya sesiapa pun tidak boleh mengazabkan dengan api melainkan Tuhan pencipta api!" (Riwayat Abu Dawud)
  • Anjing adalah najis mughallazah tetapi Islam TIDAK menganggap anjing sebagai makhluk yang hina dan dibenci.  Anjing, babi dan haiwan lain sama saja. Sikap kita terhadap haiwan boleh menjadi penentu tempat kita di akhirat samada di syurga atau neraka.  Dalam hadis diceritakan ada seorang wanita yang dihumban ke neraka kerana seekor kucing. Sebaliknya ada pula seseorang yang masuk syurga kerana memberi minum anjing yang kehausan.

Persoalan-persoalan tentang penternakan (unta, lembu, kambing, rusa, zakat haiwan ternakan) dan sembelihan juga dikupas. Penerangannya ringkas dan senang difahami. Selain isu haiwan, banyak lagi topik menarik termasuklah yang berkaitan perbankan Islam, medik, fatwa semasa, muamalat (perniagaan), info kitab dan perkahwinan. 

Jangan lupa cari al-Ustaz di kedai buku berhampiran. Beli, jangan tak beli. Dah beli, baca tau! hehe


Percuma dalam Isu No.11: mini poster salasilah keluarga Rasulullah s.a.w


Wallahu a'lam.

5 March 2013

Muslim Teens Bagus!


Muslim Teens. Majalah kegemaran anak perempuan saya, Syahdina. Semalam, masa saya mengemas-ngemas rak buku di biliknya, saya terjumpa dengan koleksi Muslim Teens-nya. Setakat ini sudah ada 6 naskhah terkumpul. Bermula dengan keluaran 04 sehingga 10. Ya, kami ketinggalan keluaran-keluaran awal. Kali terakhir Dina membeli majalah ini, kalau tak silap saya, sebulan ke dua bulan lepas.

Sebetulnya, agak susah nak jumpa majalah ini di kedai-kedai buku dan majalah. Penjualannya masih belum meluas. Mungkin kerana ia majalah baru. Oh ya, memang lebih baik melanggan terus. Cuma, kadangkala, bila melanggan, rasa tertunggu-tunggu itu sangat 'kuat' jadi buat masa sekarang, kami lebih selesa membeli dari kedai. Beberapa bulan dari sekarang, kalau masih susah untuk mendapatkan keluaran terkini Muslim Teens, mungkin kami akan pertimbangkan untuk melanggan.

Saya dan suami memang menggalakkan Syahdina membaca majalah ini. Kadang-kadang adiknya tumpang sekaki. Di kulit majalah, tertera "15 tahun ke atas jer boleh baca!". Walaupun anak-anak saya belum mencecah umur 15 tahun, pengisian majalah ini (pada pendapat saya) elok juga dibaca oleh kanak-kanak pra-remaja (10-14 tahun).

Bukan senang nak jumpa majalah islami di pasaran. Bukan senang juga nak cari majalah islami yang menarik perhatian anak-anak dan tidak membosankan. Setakat ini, saya cukup senang dengan isi kandungan Muslim Teens. Ada kalam hadis, ada komik, ada panduan tentang ibadat, akhlak, muamalat, ruangan motivasi dan kisah-kisah zaman Nabi. Semuanya dengan visual yang menarik dan berwarna-warni.



Isu-isu yang dikupas juga sangat relevan dengan pembaca, khususnya para pelajar di kalangan remaja. Contohnya ruangan 'Bersama Ustaz Cinta' (lihat gambar di atas). Banyak nasihat dan tips positif untuk membantu pembaca menangani masalah dan cabaran, tanpa melanggar syariat dan perintah agama.



Muslim Teens juga cukup santai. Pengisian berat dan ringan dipersembahkan sama banyak dan seimbang. Kisah melancong ke negara luar dan cerita resepi pun ada. Menarik, kan?

Oh ya, hampir setiap keluaran juga, ada poster percuma. Bukan poster artis atau selebriti, sebaliknya poster-poster islamik belaka.



Saya kongsikan info dan fadhilat tentang ayat Kursi (Muslim Teens, keluaran 10).

Tahukah anda? Ayat ini disebut Ayat Kursi kerana di dalamnya ada perkataan "KURSI" yang bermaksud, "Tempat duduk yang megah lagi yang mempunyai martabat", iaitu syiar atas kebesaran Tuhan yang meliputi 7 lapisan langit dan 7 lapisan bumi.

Ayat Kursi adalah seutama-utama ayat di dalam al-Quran. Antara kehebatan ayat ini (seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain) adalah:
  • Sesiapa berwuduk lalu membaca ayat Kursi sekali, nescaya Allah swt akan meninggikan darjatnya setinggi 40 darjat dan mendatangkan para malaikat menurut bilangan hurufnya, seraya berdoa untuk si pembaca sehinggalah ke hari Kiamat kelak.
  • Sesiapa membaca ayat Kursi sebelum keluar rumah, maka Allah mengutuskan 70000 malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan untuknya.
  • Membacanya dapat menghilangkan rasa marah, dijauhi bala bencana dan gangguan syaitan.
  • Sesiapa membacanya ketika dalam kesempitan, nescara Allah akan memberikan pertolongan kepadanya dan jika seseorang itu miskin, akan menjadi kaya.
  • Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, insyaAllah boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar.

Ini hanyalah beberapa fakta yang saya petik dari majalah Muslim Teens. 


Pada pendapat saya, Muslim Teens bukan saja bagus untuk kanak-kanak dan remaja belasan tahun, ia relevan juga untuk golongan dewasa. Jangan lupa dapatkan majalah ini di pasaran, boleh baca sama-sama dengan anak-anak anda. 

Salam ceria. Sihat dan senyum selalu!

26 February 2013

100 Pesanan Terakhir Rasulullah (Bahagian 3)






Sedikit perkongsian :)
Pesanan Untuk Kaum Lelaki
Di antara pesanan Rasulullah s.a.w kepada kaum lelaki ialah:
  • Hendaklah bangun mengerjakan solat pada pertengahan malam walaupun sekadar dua rakaat pendek.
  • Barangsiapa yang diberikan Nikmat dari-Nya dan dia bersyukur, diberi dugaan oleh-Nya dan dia bersabar, jika berbuat jahat dia memohon ampun, nescaya dia masuk ke syurga dari mana-mana pintu yang dikehendaki.
  • Amalkanlah memanjangkan zikir dan membaca Al-Quran setiap kali selesai solat Subuh. 
  • Lazimkan diri menyebut nama Allah sebelum terbit fajar dan terbit matahari. 
  • Biasakan diri berdoa antara azan dan iqamat. 
  • Sesiapa yang mengamalkan surah al-Mulk dan surah al-Sajadah sebelum tidur pada setiap malam, Allah akan mengutuskan teman untuknya di dalam kubur dan meringankan di alam barzakh.
  • Tebarkan salam kepada sesama muslim.


Pesanan Untuk Kaum Wanita
Beberapa peringatan dari Rasulullah s.a.w untuk kaum wanita:

  • Bagi wanita yang mengandung, para malaikat akan beristighfar untuknya dan Allah mencatatkan baginya 100 kebajikan dan menghapuskan 1000 kejahatan setiap hari.
  • Jika seorang wanita meminyakkan rambut suaminya, janggutnya, memotong misainya dan memotong kukunya, dia akan diberi minum oleh Allah dari air sungai di syurga, diiringi Allah ketika sakaratulmaut dan kuburnya akan dijadikan taman syurga.
  • Mana-mana wanita yang menolong suaminya dalam urusan agama, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya.
  • Apabila seorang wanita taat kepada suaminya, semua burung di udara, ikan di air, matahari dan bulan beristighfar baginya selama mana dia masih taat kepada suaminya.

Baca lebih lanjut tentang pesanan ini dan banyak lagi, dari buku 100 Pesanan Terakhir Rasulullah (tulisan oleh Muhd Nasruddin Dasuki, terbitan Karya Bestari).

Dapatkan buku ini pada harga istimewa RM10 tidak termasuk pos (harga pasaran: RM18.00 Semenanjung, RM21.00 Sabah/Sarawak), sila email kepada: syahidayep@gmail.com atau dsbuku@gmail.com. Stok terhad. Siapa cepat, dia dapat! :)

29 January 2013

Buat Duit dengan Tuisyen


Buat Duit dengan Tuisyen. Antara buku yang saya baca sebaik saja saya buat keputusan untuk mengajar tuisyen secara kecil-kecilan di rumah. Tahun ini adalah tahun kelima saya mengajar dari rumah. #Alhamdulillah

Kelas tuisyen saya masih kecil-kecilan. Objektif saya mengajar (dari rumah) ialah mencari sumber pendapatan. Keutamaan saya (dulu hingga kini) ialah anak-anak. Tuisyen dari rumah adalah pilihan yang terbaik (untuk saya) kerana saya boleh bekerja DAN menguruskan anak-anak saya 100%.

Saya sudah khatam buku ini berkali-kali. Ia lengkap dengan panduan untuk memulakan kelas tuisyen, samada dengan mengajar di rumah pelajar, di rumah sendiri atau menjadi guru tuisyen di pusat tuisyen. Osman Affan menulis dengan bahasa yang mudah dan ringkas. Di dalam 173 halaman di dalam buku ini, diselitkan juga kata-kata motivasi untuk anda yang masih ragu-ragu untuk bermula tapi MAHU mencuba.

Cara-cara mempromosi, panduan meletakkan caj servis dan menguruskan kelas tuisyen diterangkan satu persatu di dalam naskhah ini. Ya, walaupun sekadar mengajar dari rumah, ia adalah bisnes (berskala kecil) yang memerlukan pengurusan yang efisyen untuk memastikan anda menjana pendapatan secara berterusan.

Secara asasnya, penulis menggariskan tiga kemahiran untuk memulakan kerjaya sebagai seorang guru tuisyen; teknik mengajar, teknik belajar dan teknik pemasaran.Ya, Osman Affan juga berkongsi petua dan tip mengajar dengan berkesan. Mengajar, nampak mudah tapi tidak. Cabaran-cabaran mengajar, karenah ibubapa, pelajar dan lain-lain juga didedahkan beserta cara-cara menanganinya.

Kesimpulannya, jika anda ada potensi dan minat untuk mengajar, tak rugi untuk membeli buku ini. Ok, sekarang saya mahu khatamkan ia sekali lagi hehe.


Salam Rabu. Sihat selalu! 



25 January 2013

Kelebihan Imam Syafi'i



Petang Jumaat yang tenang. Sambil rileks menunggu masuk waktu Asar, best juga layan baca buku. hehe


Rahsia Minda Hebat. Sejujurnya, saya belum 'khatam' baca buku ini. Saya memilih untuk membacanya secara perlahan-lahan supaya otak saya boleh digest 1001 info yang ada. Menariknya tentang buku ini ialah, ia bukan saja membicarakan tentang rahsia minda (otak manusia) tetapi juga aspek-aspek agama yang berkaitan. Peranan akal/minda, rahsia kecerdasan otak dan bagaimana ia boleh dieksploitasikan secara positif seperti menghafaz Al-Quran diterangkan dengan agak detail di dalam buku ini.


Sedikit petikan dari halaman 51;


Kelebihan Imam Syafi'i. Imam Syafi'i mula menghafaz Al-Quran sewaktu berumur 9 tahun dan hafaz 30 juzuk Al-Quran dengan mudah. Sejak itu beliau dapat membaca Al-Quran dengan lancarnya. Pernah suatu ketika, iaitu dalam perjalanan dari kota Makkah ke Madinah yang memakan masa 8 hari, beliau sempat mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 16 kali.

HEBAT, kan?

Otak dan akal manusia adalah satu kelebihan dan nikmat dari Allah. Ayuh kita sama-sama menjaga kesihatan minda kita dengan menjauhi yang negatif dan mengamalkan yang positif, samada dari aspek pemakanan, akhlak dan rutin harian kita.

Akal, anugerah Tuhan paling istimewa pada manusia. -Kata Penerbit, Rahsia Minda Hebat.

24 January 2013

Menjemput Rezeki dengan Doa

dari google

Sihat. Bahagia. Gembira. Dipermudahkan urusan. Anak-anak. Suami/isteri yang baik. Famili yang supportive. Semangat dan aura positif. Ini semua rezeki, bukan $$$ semata-mata.

Salah satu kaedah menjemput rezeki, adalah dengan berdoa. Berdoa untuk kesihatan yang baik. Berdoa untuk keberkatan usia. Berdoa untuk apa saja. Seperti kata penulis, Roza Roslan di dalam buku-bukunya, doa, doa dan doalah selalu, bila-bila masa.

Petikan dari buku Mudahnya Menjemput Rezeki;

Kita boleh berdoa pada bila-bila masa. Walaubagaimanapun, terdapat waktu tertentu yang mana lebih mustajab berdoa, sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah saw. Antaranya;
  • Setiap lepas solat fardhu.
  • Ketika bangun tidur.
  • Waktu membaca doa qunut pada solat Subuh.
  • Waktu ditimpa kesulitan, kecewa dan hati tidak tenteram.
  • Sewaktu sujud.
  • Waktu hujan turun.
Saya hanya kongsikan sebahagian daripada waktu mustajab berdoa yang disyorkan oleh buku ini. Amacam kawan-kawan? Ingat ya, berdoalah ketika hujan. Jangan komplen/merungut susah dan sebagainya. Doa yang ikhlas dan dari hati, insyaAllah diperkenankan nanti. #peringatan untuk diri sendiri.

Ibny 'Ataillah berkata dalam kitab Hikamnya: "Apabila Allah melepaskan lidahmu untuk meminta, ketahuilah sesungguhnya Allah hendak memberimu."

Salam Jumaat!