5 March 2013

Muslim Teens Bagus!


Muslim Teens. Majalah kegemaran anak perempuan saya, Syahdina. Semalam, masa saya mengemas-ngemas rak buku di biliknya, saya terjumpa dengan koleksi Muslim Teens-nya. Setakat ini sudah ada 6 naskhah terkumpul. Bermula dengan keluaran 04 sehingga 10. Ya, kami ketinggalan keluaran-keluaran awal. Kali terakhir Dina membeli majalah ini, kalau tak silap saya, sebulan ke dua bulan lepas.

Sebetulnya, agak susah nak jumpa majalah ini di kedai-kedai buku dan majalah. Penjualannya masih belum meluas. Mungkin kerana ia majalah baru. Oh ya, memang lebih baik melanggan terus. Cuma, kadangkala, bila melanggan, rasa tertunggu-tunggu itu sangat 'kuat' jadi buat masa sekarang, kami lebih selesa membeli dari kedai. Beberapa bulan dari sekarang, kalau masih susah untuk mendapatkan keluaran terkini Muslim Teens, mungkin kami akan pertimbangkan untuk melanggan.

Saya dan suami memang menggalakkan Syahdina membaca majalah ini. Kadang-kadang adiknya tumpang sekaki. Di kulit majalah, tertera "15 tahun ke atas jer boleh baca!". Walaupun anak-anak saya belum mencecah umur 15 tahun, pengisian majalah ini (pada pendapat saya) elok juga dibaca oleh kanak-kanak pra-remaja (10-14 tahun).

Bukan senang nak jumpa majalah islami di pasaran. Bukan senang juga nak cari majalah islami yang menarik perhatian anak-anak dan tidak membosankan. Setakat ini, saya cukup senang dengan isi kandungan Muslim Teens. Ada kalam hadis, ada komik, ada panduan tentang ibadat, akhlak, muamalat, ruangan motivasi dan kisah-kisah zaman Nabi. Semuanya dengan visual yang menarik dan berwarna-warni.



Isu-isu yang dikupas juga sangat relevan dengan pembaca, khususnya para pelajar di kalangan remaja. Contohnya ruangan 'Bersama Ustaz Cinta' (lihat gambar di atas). Banyak nasihat dan tips positif untuk membantu pembaca menangani masalah dan cabaran, tanpa melanggar syariat dan perintah agama.



Muslim Teens juga cukup santai. Pengisian berat dan ringan dipersembahkan sama banyak dan seimbang. Kisah melancong ke negara luar dan cerita resepi pun ada. Menarik, kan?

Oh ya, hampir setiap keluaran juga, ada poster percuma. Bukan poster artis atau selebriti, sebaliknya poster-poster islamik belaka.



Saya kongsikan info dan fadhilat tentang ayat Kursi (Muslim Teens, keluaran 10).

Tahukah anda? Ayat ini disebut Ayat Kursi kerana di dalamnya ada perkataan "KURSI" yang bermaksud, "Tempat duduk yang megah lagi yang mempunyai martabat", iaitu syiar atas kebesaran Tuhan yang meliputi 7 lapisan langit dan 7 lapisan bumi.

Ayat Kursi adalah seutama-utama ayat di dalam al-Quran. Antara kehebatan ayat ini (seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain) adalah:
  • Sesiapa berwuduk lalu membaca ayat Kursi sekali, nescaya Allah swt akan meninggikan darjatnya setinggi 40 darjat dan mendatangkan para malaikat menurut bilangan hurufnya, seraya berdoa untuk si pembaca sehinggalah ke hari Kiamat kelak.
  • Sesiapa membaca ayat Kursi sebelum keluar rumah, maka Allah mengutuskan 70000 malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan untuknya.
  • Membacanya dapat menghilangkan rasa marah, dijauhi bala bencana dan gangguan syaitan.
  • Sesiapa membacanya ketika dalam kesempitan, nescara Allah akan memberikan pertolongan kepadanya dan jika seseorang itu miskin, akan menjadi kaya.
  • Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, insyaAllah boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar.

Ini hanyalah beberapa fakta yang saya petik dari majalah Muslim Teens. 


Pada pendapat saya, Muslim Teens bukan saja bagus untuk kanak-kanak dan remaja belasan tahun, ia relevan juga untuk golongan dewasa. Jangan lupa dapatkan majalah ini di pasaran, boleh baca sama-sama dengan anak-anak anda. 

Salam ceria. Sihat dan senyum selalu!

No comments:

Post a Comment