Showing posts with label Majalah Islami. Show all posts
Showing posts with label Majalah Islami. Show all posts

20 March 2013

al-Ustaz :Anda Musykil Islam Menjawab

Saya dan suami mula membaca majalah Al-Ustaz sejak tahun lepas. Kami bermula dengan keluaran No. 04. Ya, dah terlepas 3 keluaran yang pertama. Sejak membeli Al-Ustaz yang pertama, kami terus suka. Banyak ilmu, banyak fakta, banyak yang kami belajar. Alhamdulillah :)


Antara ruangan menarik:

Macam-macam Musykil ---> Ustaz Azhar Idrus
Motivasi Keluarga ---> Prof Dr. Muhaya Hj. Mohamad
Fiqah Semasa ---> Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
Imam Muda ---> Imam Muda Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan
Bicara Muslimah ---> Ustazah Norhafizah Hj. Musa
Tafsir Ayat Hukum ---> Dr.Hj.Zahazan Mohamed
Fiqah Harian ---> Dato' Haji Ismail Kamus



Ya, itu hanyalah sebahagian daripada ruangan menarik yang dikendalikan oleh para ilmuan yang cukup dikenali di Malaysia. Banyak lagi ruangan menarik. Pendekata, tak rugi membeli. Untunglah yang membaca.

Keluaran No.11 (yang terkini kami beli) agak menarik perhatian saya sebab ia sangat berkait rapat dengan hobi saya sekeluarga iaitu, membela kucing. Isu 'haiwan peliharaan' nampak remeh tapi sebenarnya sarat dengan informasi dan isu yang selama ini mungkin dipandang ringan oleh kebanyakan kita.


Antara yang ingin saya kongsikan (sumber: al-Ustaz Isu No. 11):

  • Hukum jual beli kucing dan kera: SAH kerana kedua-duanya suci dan bermanfaat, maka memenuhi syarat-syarat barangan jualan. Terdapat juga hadis sahih muslim yang meriwaratkan Nabi melarang daripada menjual kucing. Larangan ini berbentuk makruh tanzih (kerana biasanya masyarakat tidak mengambil harga kedua-duanya dan mereka hanya menghadiahkannya saja). Larangan ini juga berkaitan dengan kucing liar yang tidak jinak sehingga tidak boleh dimanfaatkan dan tidak halal dimakan menurut pendapat yang sahih. Wallahu'alam.
  • Sifat utama haiwan belaan (yang dibolehkan) mestilah suci dan tidak membahayakan. Haiwan itu juga mestilah bermanfaat secara syarak. Haiwan-haiwan yang diperintahkan untuk dibunuh; ular, gagak, tikus, anjing gila, burung hering dan cicak.
    Dalam sebuah hadis Nabi menyebut mafhumnya:"Lima haiwan perosak (mesti) dibunuh di Tanah Haram ataupun tanah halal: ular, gagak yang berwarna putih di bahu dan perutnya, tikus, anjing ganas dan burung bangkai." (Riwayat Muslim)
  • Hukum memberi nama kepada kucing? BOLEH. Nabi s.a.w sendiri memberi nama kepada binatang peliharaan baginda. Memberi nama kepada haiwan diharuskan, tetapi elakkan nama-nama yang biasa digunakan untuk manusia terutamanya nama-nama Nabi dan tokoh ulama (perkara ini boleh dikira sebagai penghinaan).
  • Memelihara anjing tanpa sebarang alasan/hajat, hukumnya haram (menurut mazhab Syafii) dan makruh (menurut mazhab yang lain). Jika dengan alasan (contohnya menjaga keselamatan), para ulama bersepakat bahawa hukumnya harus.
    Sabda Rasulullah s.a.w: "Sesiapa yang memelihara anjing, kecuali anjing untuk menjaga ladang, haiwan ternakan dan berburu, maka setiap hari pahalanya berkurangan satu qirat". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
  • Secara prinsipnya, sengaja membunuh makhluk Allah hukumnya haram melainkan atas sebab yang dibenarkan syarak seperti untuk dimakan serta jenis haiwan perosak yang sunat dibunuh seperti lipas dan cicak.  Islam mengajar kita belas kasihan kepada semua jenis makhluk, termasuk anjing dan babi (soal anjing dan babi hanya pada kenajisannya saja).
  • Nabi melarang membunuh empat jenis binatang: semut, lebah, burung belatuk dan katak. (Riwayat Abu Daud). Mesejnya ialah, haiwan yang tidak membahayakan manusia secara semulajadi tidak boleh dibunuh. Bagaimanapun, jika berlaku kemudharatan atau benar-benar dibimbangi berlaku sebarang bahaya, dibolehkan dibunuh.
  • Cara membunuh haiwan perosak dan berbahaya; apa saja cara asalkan TIDAK menyeksa dan BUKAN dengan api.
    Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Sesungguhnya Allah menetapkan ihsan buat setiap sesuatu. Maka jika kamu hendak membunuh, perelo kkan pembunuhan itu." (Riwayat Muslim)
    Ibn Mas'ud menceritakan bahawa beliau pernah bermusafir bersama Nabi s.a.w. Semasa Nabi pergi membuang air, ada sahabat membakar sarang semut. Tatkala Nabi s.a.w kembali dan melihat sarang semut yang dibakar, lalu Baginda bertanya: "Siapa yang membakar ini?" "Kami"
    "Sesungguhnya sesiapa pun tidak boleh mengazabkan dengan api melainkan Tuhan pencipta api!" (Riwayat Abu Dawud)
  • Anjing adalah najis mughallazah tetapi Islam TIDAK menganggap anjing sebagai makhluk yang hina dan dibenci.  Anjing, babi dan haiwan lain sama saja. Sikap kita terhadap haiwan boleh menjadi penentu tempat kita di akhirat samada di syurga atau neraka.  Dalam hadis diceritakan ada seorang wanita yang dihumban ke neraka kerana seekor kucing. Sebaliknya ada pula seseorang yang masuk syurga kerana memberi minum anjing yang kehausan.

Persoalan-persoalan tentang penternakan (unta, lembu, kambing, rusa, zakat haiwan ternakan) dan sembelihan juga dikupas. Penerangannya ringkas dan senang difahami. Selain isu haiwan, banyak lagi topik menarik termasuklah yang berkaitan perbankan Islam, medik, fatwa semasa, muamalat (perniagaan), info kitab dan perkahwinan. 

Jangan lupa cari al-Ustaz di kedai buku berhampiran. Beli, jangan tak beli. Dah beli, baca tau! hehe


Percuma dalam Isu No.11: mini poster salasilah keluarga Rasulullah s.a.w


Wallahu a'lam.

5 March 2013

Muslim Teens Bagus!


Muslim Teens. Majalah kegemaran anak perempuan saya, Syahdina. Semalam, masa saya mengemas-ngemas rak buku di biliknya, saya terjumpa dengan koleksi Muslim Teens-nya. Setakat ini sudah ada 6 naskhah terkumpul. Bermula dengan keluaran 04 sehingga 10. Ya, kami ketinggalan keluaran-keluaran awal. Kali terakhir Dina membeli majalah ini, kalau tak silap saya, sebulan ke dua bulan lepas.

Sebetulnya, agak susah nak jumpa majalah ini di kedai-kedai buku dan majalah. Penjualannya masih belum meluas. Mungkin kerana ia majalah baru. Oh ya, memang lebih baik melanggan terus. Cuma, kadangkala, bila melanggan, rasa tertunggu-tunggu itu sangat 'kuat' jadi buat masa sekarang, kami lebih selesa membeli dari kedai. Beberapa bulan dari sekarang, kalau masih susah untuk mendapatkan keluaran terkini Muslim Teens, mungkin kami akan pertimbangkan untuk melanggan.

Saya dan suami memang menggalakkan Syahdina membaca majalah ini. Kadang-kadang adiknya tumpang sekaki. Di kulit majalah, tertera "15 tahun ke atas jer boleh baca!". Walaupun anak-anak saya belum mencecah umur 15 tahun, pengisian majalah ini (pada pendapat saya) elok juga dibaca oleh kanak-kanak pra-remaja (10-14 tahun).

Bukan senang nak jumpa majalah islami di pasaran. Bukan senang juga nak cari majalah islami yang menarik perhatian anak-anak dan tidak membosankan. Setakat ini, saya cukup senang dengan isi kandungan Muslim Teens. Ada kalam hadis, ada komik, ada panduan tentang ibadat, akhlak, muamalat, ruangan motivasi dan kisah-kisah zaman Nabi. Semuanya dengan visual yang menarik dan berwarna-warni.



Isu-isu yang dikupas juga sangat relevan dengan pembaca, khususnya para pelajar di kalangan remaja. Contohnya ruangan 'Bersama Ustaz Cinta' (lihat gambar di atas). Banyak nasihat dan tips positif untuk membantu pembaca menangani masalah dan cabaran, tanpa melanggar syariat dan perintah agama.



Muslim Teens juga cukup santai. Pengisian berat dan ringan dipersembahkan sama banyak dan seimbang. Kisah melancong ke negara luar dan cerita resepi pun ada. Menarik, kan?

Oh ya, hampir setiap keluaran juga, ada poster percuma. Bukan poster artis atau selebriti, sebaliknya poster-poster islamik belaka.



Saya kongsikan info dan fadhilat tentang ayat Kursi (Muslim Teens, keluaran 10).

Tahukah anda? Ayat ini disebut Ayat Kursi kerana di dalamnya ada perkataan "KURSI" yang bermaksud, "Tempat duduk yang megah lagi yang mempunyai martabat", iaitu syiar atas kebesaran Tuhan yang meliputi 7 lapisan langit dan 7 lapisan bumi.

Ayat Kursi adalah seutama-utama ayat di dalam al-Quran. Antara kehebatan ayat ini (seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain) adalah:
  • Sesiapa berwuduk lalu membaca ayat Kursi sekali, nescaya Allah swt akan meninggikan darjatnya setinggi 40 darjat dan mendatangkan para malaikat menurut bilangan hurufnya, seraya berdoa untuk si pembaca sehinggalah ke hari Kiamat kelak.
  • Sesiapa membaca ayat Kursi sebelum keluar rumah, maka Allah mengutuskan 70000 malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan untuknya.
  • Membacanya dapat menghilangkan rasa marah, dijauhi bala bencana dan gangguan syaitan.
  • Sesiapa membacanya ketika dalam kesempitan, nescara Allah akan memberikan pertolongan kepadanya dan jika seseorang itu miskin, akan menjadi kaya.
  • Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, insyaAllah boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar.

Ini hanyalah beberapa fakta yang saya petik dari majalah Muslim Teens. 


Pada pendapat saya, Muslim Teens bukan saja bagus untuk kanak-kanak dan remaja belasan tahun, ia relevan juga untuk golongan dewasa. Jangan lupa dapatkan majalah ini di pasaran, boleh baca sama-sama dengan anak-anak anda. 

Salam ceria. Sihat dan senyum selalu!