22 January 2013

Oh! Wishlist (Bahagian 2)


11 Rabiulawal 1434H.  Esok hari ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w yang tercinta. Pagi tadi, melayan lagu-lagu tentang Rasulullah di ikim.fm, terasa sebak dan bergenang air mata.

Sebelum ini, Maulidur Rasul hanyalah salah satu daripada senarai cuti umum yang ditunggu-tunggu. Itu dulu. Sekarang, saya rasa terpanggil untuk lebih mengenali tentang Rasul kita, khalifah Allah yang sempurna personalitinya. Subhanallah. Alhamdulillah. Salah satu cara mengenali Nabi s.a.w ialah melalui buku. Hari ini, cukup banyak buku-buku tentang Rasulullah s.a.w di pasaran. 

dari google


101 Akhlak Rasulullah. Sangat sesuai untuk anak-anak. Orang kata, don't judge a book by its cover. Tapi, cover buku ini sangat menarik dan penuh warna. Anak-anak tentu suka. InsyaAllah, mereka akan lebih bersemangat membaca tentang peribadi dan akhlak Nabi s.a.w.


dari google

Syamail Muhammad s.a.w. Saya pilih untuk membeli buku ini untuk diri sendiri. Buku-buku terbitan Telaga Biru jarang mengecewakan. Melihat ustaz Dr.Zahazan Mohamed menyebut secara ringkas tentang buku ini di slot Malaysia Hari ini, tv3 minggu lepas buat saya tak sabar untuk cari dan beli buku ini segera. 

Katanya, buku ini adalah himpunan hadis oleh imam at-Tirmizi tentang Rasulullah s.a.w dalam 5 aspek kehidupan baginda iaitu; fizikal, tingkahlaku, ibadah, hubungan dan akhlak dan perjalanan hidup Nabi s.a.w secara amnya. Jom beli jom! 


dari facebook

Sedikit perkongsian pagi ini;

Sebuah hadis sahih daripada Imam Bukhari, "Rasulullah s.a.w mengingatkan katanya, ada dua kenikmatan, banyak manusia menjadi rugi gara-gara dua kenikmatan ini iaitu nikmat kesihatan dan nikmat waktu lapang."


Rasulullah s.a.w. Idola terbaik dalam kehidupan.

Sihat selalu! :)

21 January 2013

100 Pesanan Terakhir Rasulullah (Bahagian 2)



Salam 10 Rabiulawal 1434. 

Sedikit perkongsian daripada Bab 13, 100 Pesanan Terakhir Rasulullah;

Rasulullah saw merupakan orang yang banyak memberi tanpa mengharapkan balasan. Selain memberi sedekah, baginda juga memberikan ilmu kepada sesiapa malah pada suatu ketika Rasulullah saw sendiri berasa masih banyak lagi yang tidak diberikan kepada orang yang memerlukan.

Subhanallah. Betapa CANTIKnya keperibadian Nabi saw. Bagaimana dengan kita? Berapa banyakkah yang telah kita beri kepada orang lain selama ini? #peringatan untuk diri sendiri

Memberi, tidak semestinya harta. Memberi senyuman, kemaafan, ilmu, kata-kata manis, rasa hormat, ucapan salam, berjabat tangan, berterima kasih dan apa juga pemberian bukan material adalah sangat digalakkan.

Kalau  difikirkan, terlalu banyak yang telah Allah beri kepada kita tetapi terlalu sedikit pula yang kita berikan semula kepada-Nya. Nikmat Allah kepada hamba-hambanya tidak terhitung.

Memberi tanpa mengharapkan balasan. Itulah yang sewajarnya. Jom kita sama-sama mencontohi sikap Nabi saw. Jom ucapkan Alhamdulillah :)

Bismillahirrahmanirrahim,

dari mukasurat 56, buku 100 Pesanan Terakhir Rasulullah.

17 January 2013

Tip Jana Wang Dari Rumah


Bekerja sendiri, dari rumah. 

Hmm, boleh ke? Lumayankah wang yang dijana? Hah, kalau nak tahu kena baca.hehe

Tip Jana Wang dari Rumah. Tulisan oleh Rizal Abdul Rashid. Diterbitkan oleh PTS Millenia. 

Antara topik-topik menarik yang dibincangkan ialah:
Kelebihan Bekerja Dari Rumah
Perbezaan Bekerja di Rumah & di Pejabat
Senarai Kerja yang sesuai dilakukan di Rumah
Menetapkan Waktu Kerja dan hari Cuti
Malas, Musuh Utama Bekerja Dari Rumah
Antara Kerja dan Keluarga

...dan banyak lagi.

**Harga: RM13.90 Semenanjung RM15.90 Sabah Sarawak

Harganya sangat berpatutan dan berbaloi untuk anda beli dan baca sebagai pencetus idea dan motivasi.  Rumah sebagai pejabat. Di mana pejabat, di situlah rumah. Rumahku, Ofisku. Kitalah bos, kitalah pekerja. Itulah tema yang dibincangkan oleh penulis di dalam buku ini.

Antara bab kegemaran saya di dalam buku ini ialah mengenai Ruang Kerja. Antara tip yang disyorkan kepada mereka yang bekerja dari rumah (untuk mengatasi sikap malas) ialah 'Jangan campurkan ruang kerja dengan bilik tidur'.

Sedikit petikan daripada buku ini;
"Tilam, bantal dan selimut adalah musuh utama pekerja dari rumah. Tiga musuh itu akan menghasut pemikiran  kita supaya tidur, tidur dan tidur."

Erk, saya memang sangat setuju dengan pernyataan tersebut. 

Ok, saya sambung perkongsian buku ini di lain masa. 

Ingat ye, tidur biar cukup, jangan lebih, jangan kurang. Jom produktif!



16 January 2013

Mudahnya Menjemput Rezeki


"Sesungguhnya Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya 
dengan tidak terhitung jumlahnya."

Itulah yang tertera di muka depan buku ini, Mudahnya Menjemput Rezeki. Satu peringatan yang baik untuk kita semua. Yakin pada Allah. Jangan khuatir dengan ketentuan rezeki anda. Usaha, usaha dan usaha tanpa terlalu memikirkan hasilnya. Janji Allah pasti ditepati. Yang diusahakan, insyaAllah akan ada ganjarannya nanti.

Saya sebenarnya membeli buku ini sebagai hadiah untuk diri sendiri. Bagi seorang yang bekerja sendiri, saya tidak dapat lari daripada rasa risau dengan pendapatan yang turun naik dan tidak menentu. Kadang-kadang, rasa risau itu agak over terutamanya apabila $$$ semakin susut dan syaitan pula mula menjalankan tugas dengan jayanya. haha

Membaca buku ini dari semasa ke semasa membantu saya untuk sentiasa ingat bahawa Allah itu Maha adil, Maha pemurah, lagi pengasih dan penyayang. Ia menolong saya untuk terus istiqamah dan bertawakal. 

Menjemput rezeki dengan mengutamakan solat.
Menjemput rezeki dengan solat Tahajud.
Menjemput rezeki dengan solat Dhuha.
Menjemput rezeki dengan zikir.
Menjemput rezeki dengan Doa.
Menjemput rezeki dengan mendoakan orang lain.
Menjemput rezeki dengan Sedekah.
Menjemput rezeki dengan membaca Al-Quran.
Menjemput rezeki dengan Asma'ul Husna.
Menjemput rezeki dengan bersyukur.
Menjemput rezeki dengan tekun berusaha.

Fuhh, banyak betul jalan menjemput rezeki. Yang penting kita ikhlas dan yakin. Selain itu, buku ini juga membuka mata saya tentang definisi rezeki. 

Menurut pengarang Tafsir al-Quran asy-Sya'rawy, rezeki adalah apa sahaja yang memberi manfaat kepada seseorang. Selain itu, kita perlu sedar bahawa apa yang didapati melalui usaha kita, terdapat padanya rezeki orang lain. Oleh itu, jangan lokek memberi.

Duit, makanan, minuman, kereta, rumah dan pelbagai material lain adalah rezeki.Kesihatan yang baik, keupayaan bekerja, kemahuan menabung, sikap, tingkah laku, idea, taufik dan hidayah juga merupakan rezeki. 

Semua rezeki datang dari Allah. Ketentuan rezeki setiap makhluk-Nya sudah ditentukan sehingga hari kiamat. Jom amalkan kaedah-kaedah yang disyorkan di dalam buku ini. Moga kita mendapat rezeki yang berkat. Amiin!



**Harga buku: RM18 Semenanjung, RM20 Sabah Sarawak.

Jangan lupa dapatkan buku ini di kedai buku berhampiran. 
Banyak pengisian positif :)



14 January 2013

Perihal Bawang Putih

365 Tip Sihat Gaya Rasulullah

Saya pernah ceritakan (serba ringkas) tentang buku ini di SINI. Ada 365 tips kesihatan yang sangat bermanfaat, gaya Rasulullah. 

Hari ini, saya kongsikan sedikit info tentang bawang putih daripada buku ini.

"Orang tua-tua selalu mencampurkan bawang putih dalam makanan mereka. Sebenarnya, bawang putih bukan hanya sekadar menyedapkan makanan malah dapat digunakan sebagai ubat. Selain kandungan antibiotik, antikolestrol dan antiradang, bawang putih juga mengandungi enzim yang melawan barah.  Namun cara menyediakannya perlu betul iaitu dengan menghiris atau menumbuknya. Biarkan selama 10 minit dan masukkan ke dalam masakan."

Wahh, bagus bawang putih ni. Jangan lupa masukkan dalam masakan/menu anda hari ini ye! 

Baca buku selalu. Solat di awal waktu :)))


dari google


13 January 2013

Koleksi Roza Roslan

Koleksi buku Roza Roslan


Sebelum ini saya tak pernah kenal siapa Roza Roslan. Selepas saya membaca buku Prof Kamil, Bersyukur Saat Diuji, saya terus membeli keempat-empat buku di atas. Satu persatu saya baca buku-buku tersebut. Saya suka kesemuanya! :)

Travelog Cinta Abadi
Travelog Kehidupan Abadi
Travelog Impian Abadi
Bukan Sekadar Resepi

Seronok membaca buku-buku tulisan Roza Roslan. Saya boleh relate dengan kebanyakan kisah-kisahnya. Apa yang saya perhatikan, dalam kesemuanya buku-bukunya, ada satu persamaan. 

Berdoa. Doa.Doa dan doa.

Jangan jemu berdoa. Berdoalah dimana-mana. Berdoalah bila-bila masa, waktu susah, semasa senang. Berdoalah selalu. Boleh berdoa dengan bahasa yang mudah. Berdoalah dengan penuh ikhlas dan ingatan pada Allah. 

Ya, itulah mesej yang saya dapat dari buku-buku karya Roza Roslan.

Terima kasih puan Roza untuk tulisan-tulisan anda. Alhamdulillah. Saya suka!

dari facebook


Salam Isnin. Singgah lagi :)